|
ANTARA BAHASA, FIKIRAN, DAN TINDAKAN
Oleh: Fikri Mahmud
Para ahli psikolinguistik umumnya
bersetuju bahawa antara bahasa dan fikiran mempunyai hubungan yang sangat erat, walaupun mereka berbeza pandangan dalam menetapkan,
apakah kemahiran berbahasa yang menentukan kemahiran berfikir, atau apakah kemahiran
berfikir itu bergantung pada kemahiran berbahasa? Apakah bahasa yang mempengaruhi fikiran, atau fikiran yang mempengaruhi
bahasa? Dan lain sebagainya.
Dari
kalangan ahli psikologi aliran behaviorisme, seperti John B. Waston dan B.F. Skinner, berpendapat bahawa berfikir adalah bercakap
kepada diri sendiri secara batin, dan pertuturan zahir (bercakap kuat) akan menentukan pertuturan batin (berfikir). Pendapat
ini juga dianut oleh Lonard Bloomfield daripada ahli bahasa, dan Gilbert Ryle daripada ahli falsafah. Ryle beranggapan bahawa
berfikir merupakan kecapaian yang berasaskan pada bahasa. Dan banyak ahli, seperti Vygotsky,
Edward, Safir, Benjamin Whorf, berpendapat bahawa sistem bahasa, dengan rumusannya atau perbendaharaan katanya, membentuk
fikiran atau diperlukan untuk berfikir. Nampaknya, pada mereka, kemahiran berfikir bergantung pada kemahiran berbahasa, dan
bahasa menentukan fikiran.
Meskipun
pandangan di atas dikritik oleh ahli lainnya, kerana telah terbukti bahawa orang bisu atau orang pekak yang kurang memiliki
kemampuan dalam berbahasa, ternyata juga boleh berfikir dengan cemerlang; namun kritikan tersebut tidak mengurangi kenyataan
bahawa antara bahasa dan fikiran itu memang mempunyai kaitan yang sangant erat. Ketika berfikir kita menggunakan bahasa (secara batin), dan fikiran itu kita jelmakan atau kita ungkapkan melalui bahasa (secara zahir).
Mungkin orang pekak dan bisu tersebut kurang, atau tidak, memiliki kebolehan dalam berbahasa secara zahir, siapa tahu mereka
mempunyai kemampuan yang tinggi dalam berbahasa secara batin. Kerana bahasa batin hanya Allah dan orang bersangkutan sahaja
yang mengetahuinya. Jika orang kebanyakan menjelmakan fikirannya melalui ucapan dan, atau tindakan, maka orang-orang bisu
menzahirkan pemikiran mereka melalui tindakan; bahasa isyarat yang mereka gunakan adalah sebahagian daripada tindakan. Jadi,
bertindak sebenarnya adalah bertutur dengan menggunakan perbuatan, dan tindakan juga merupakan penjelmaan fikiran. Tindakan
yang baik mencerminkan fikiran yang baik, sebaliknya perbuatan yang buruk merupakan penjelmaan fikiran yang buruk pula. Begitu
jugalah halnya dengan bahasa. Jadi, manusia menjelmakan fikirannya melalui dua cara: ucapan (bahasa) dan perbuatan (tindakan).
Memperkuat
pandangan bahawa bahasa mempengaruhi fikiran di atas, Alferd Korzybski, seorang ahli psikologi klinikal (psychiater)
yang juga ahli bahasa, dalam bukunya yang sangat kontroversial, Since and Sanity, menyatakan bahawa penyakit jiwa disebabkan
oleh kerana kekacauan menggunakan bahasa. Semakin gila seseorang itu, semakin cenderung ia menggunakan bahasa yang tidak tepat
dan tidak benar. Jadi, menurutnya, jika jiwa anda ingin sihat, gunakanlah bahasa yang tepat dan betul.
Pada sisi lain,
Wilhelm von Humboldt percaya bahawa dalam bahasa ada tersirat semangat dan watak kebangsaan penutur bahasa itu. Jauh sebelumnya orang tua-tua kita telah mengatakan bahawa bahasa menunjukkan bangsa. Tidak
hanya sekedar itu, bahasa juga merupakan alat untuk melestarikan budaya bangsa. Tanpa bahasa, tiada kumpulan manusia manapun
akan dapat mengembangkan budaya apa pun. Ilmu pengetahuan dan teknologi tidak akan berkembang dan lestari tanpa adanya bahasa.
Bahasa merupakan sebahagian daripada budaya itu sendiri. Dengan memasyarakatkan bahasa yang baik, bererti kita mengembangkan
budaya yang baik; sebaliknya bahasa yang buruk akan menyebarkan budaya yang buruk pula. Biasakanlah menggunakan bahasa yang
karut, maka Insya Allah, budaya yang akan berkembang dalam masyarakat kita adalah budaya yang karut pula.
Dalam kehidupan bernegara peranan
bahasa matlah penting. Dengan bahasa kita boleh membentuk saling pengertian, menumbuhkembangkan pesahabatan, memelihara kasih
sayang, dan mempererat persatuan. Tetapi, dengan bahasa kita juga dapat menyuburkan perpecahan, melestarikan permusuhan, dan
menanamkan kebencian. Kualiti hudup kita, hubungan kita sesama manusia dapat dipertingkatkan dengan memperbaiki bahasa yang
kita gunakan. Itulah sebabnya Perdana Menteri YAB. Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, dari awal-awal lagi berharap supaya masyarakat berbicara kepada beliau dengan jujur dan benar, jangan berbohong; agar
beliau dapat mengambil keputusan dan tindakan yang benar pula. Jadi, jika kita ingin memperbaiki masyarakat kita, mulailah
terlebih dahulu dengan menggunakan bahasa yang baik dan benar. Para ahli politik, pihak media, para khatib yang berbicara
di mimbar-mimbar dan sebagainya, haruslah menggunakan bahasa yang baik dan menyampaikan informasi yang benar, jangan membohongi
apalagi menghasutrakyat.
Al-Quran menyeru: Hai orang-orang
yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, niscaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu
dan mengampuni bagimu dosa-dosamu (lihat surah al-Ahzab (33): 70-71). Menurut al-Quran, dengan menyampaikan perkataan
(bahasa) yang benar, amal perbuatan (tindakan) kita akan menjadi baik. Bila bahasa dan tindakan kita sudah baik, maka Insya
Allah, kita akan terhindar daripada dosa-dosa. Oleh itu, jika anda ingin menjadi orang yang baik, mulailah terlebih dahulu
dengan menggunakan bahasa yang baik dan benar. Rasul berpesan: Barangsiapa yang betul-betul beriman kepada Allah dan hari
kemudian, maka hendaklah ia mengucapkan perkataan yang baik; kalau tidak, diam sajalah!.
Ternyata
anjuran menggunakan bahasa yang baik dan benar, bukan hanya datang daripada Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja, tetapi juga dianjurkan
oleh psychiater, filsuf, budayawan, dan lain-lainnya. Lebih dari itu, ianya adalah perintah agama.
Wallah
alam !
Kuala
Lumpur, Februari 2004
|