Artikel Fikri Mahmud

Penyakit "Extension" Dalam Logika Politik

Home
Pengantar
Gerakan Teroris Dalam Masyarakat Islam: Analisis Terhadap Gerakan Jemaah Islamiah (JI)
Citra Barat Tentang Islam: Tinjauan Terhadap Kes Karikatur Nabi Muhammad
Landasan Relijuis Keganasan Israel
Islam dan Imej Keganasan: Satu Analisa Tentang Prinsip Jihad Dalam Al-Qur'an
Urgensi "Fiqih Realitas"
Antara Bahasa, Fikiran, dan Tindakan
Politik dan Perpecahan Umat Islam: Latar Belakang Sejarah
Keadilan Kata-kata Dalam Perspektif Islam dan General Semantic
Punca Perselisihan Umat Islam Malaysia: Masalah Definisi
Penyakit "Extension" Dalam Logika Politik
Konsep Diri dan Agama
Revitalisasi Syariah Islam: Perlunya Sikap Terbuka Memandang Mazhab

 
 

PENYAKIT "EXTENTION" DALAM  LOGIKA POLITIK

 

Oleh: Fikri Mahmud

 

  Menurut para Ilmuan, ternyata otak manusia memiliki kira-kira lebih daripada 100 milliar sel. Setiap satu sel dapat membuat jaringan sebanyak 280-15.000 serabut saraf. Daya kecepatan penghantaran antara sel mampu mencapai kecepatan seper-150 saat. Dengan optimalisasi fungsi utama otak, maka seseorang itu akan sampai kepada tingkat darjat intelektualitas tertentu, sehingga mendapat predikat intelektual. Kajian Dr. Roger Sperry dan Dr.Paul Maclean mendapati bahawa manusia hanya menggunakan 10% dari pada potensi otaknya, 90% lagi sentiasa menanti untuk dikembangkan. Albert Einstein yang kegeniusannya sudah terkenal di seluruh dunia, mengatakan bahawa potensi otaknya baru digunakan sebesar tidak lebih daripada 15%. Cuba kita bayangkan, jika seandainya ia menggunakan seluruh potensi yang ada pada otaknya. Untuk direnungkan, otak memiliki otot-otot dalam melakukan pekerjaan seperti berfikir, tiada bedanya dengan kaki yang mempunyai otot-otot untuk membantu kita berjalan. apabila otot-otot itu tidak sering digunakan, maka otot-otot itu akan merosot kemampuannya.

 

Salah satu keistemewaan manusia daripada makhluk Tuhan yang lain ialah bahawa mereka dikurniakan akal. Akal merupakan unsur rohani, sedangkan otak adalah unsur jasmani. Manusia dapat menemukan otak didalam kepala; tetapi, walaupun tempurung kepala itu sudah dibelah, manusia tidak akan bertemu akal. Namun keduanya tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain. Otak tanpa akal tidak ada gunanya, demikian pula sebaliknya. Sudah banyak filosof membahaskan hakikat akal. Walaupun mereka berbeza pendapat tentang apa yang disebut dengan akal, tetapi semua setuju bahawa akal adalah alat untuk berfikir. Dalam perkembangan peradaban, manusia menemui cara-cara berfikir yang benar, -yang mereka sebut logika. Tidak setiap berfikir itu logis. Tidak jarang apa yang disebut rasional sebenarnya hanyalah rasionalisasi. Bukan tempatnya disini kita membahaskan logika. Tetapi, untuk menyederhanakan saja, cukuplah kita katakan bahawa dengan logika kita dapat menguji inkonsistensi dalam pemikiran; memeriksa apakah pemikiran kita tidak dimasuki prasangka, hawa nafsu, atau premis yang salah dan sebagainya.

 

Dalam logika ada istilah strategems atau fallacies; iaitu kesalahan argumentasi kerana kekeliruan menggunakan bahasa, atau kekeliruan berfikir. Apabila logika mengajarkan kepada kita teknik berfikir kritis, maka strategems adalah teknik berfikir tidak kritis. Salah satu contoh strategems adalah extention (perluasan). Untuk penjelasannya kita ambil contoh seperti berikut:

 

Seorang muballigh pernah dikritik dalam sebuah pengajian. Setiap kali ustaz berceramah, kata seorang yang hadir, ada-ada saja hadis yang didhoifkan (dilemahkan). Minggu lalu ustaz mendhoifkan hadis qunut subuh; sebelumnya ustaz menganggap hadis tentang maulid Nabi itu maudhu (hadis buatan); sekarang ustaz mengatakan bahawa hadis tentang bilangan takbir pada sholat Eid itu dhoif. Saya khuatir, bila ustaz terus menerus mengkritik, nanti akan habislah seluruh hadis. Lalu apa yang akan kita jadikan pedoman? Jangan-jangan kita sama pula dengan orientalis; mula-mula hadis yang mereka kritik, setelah itu mereka mengkritik Al-Quran, akhirnya mereka menolak ajaran Islam secara keseluruhan. Sampai disini kita potong pembicaraan seorang hadirin tadi. Mari kita tinjau logika yang dipergunakannya.

 

Dalam extension orang memperluas cakupan (jangkauan) argumen lebih daripada bukti yang ada. Peserta pengajian tadi, misalnya, memperluas kritik pada satu dua hadis kepada seluruh hadis. Ia beranggapan kalau beberapa hadis sudah didhoifkan, maka nantinya seluruh hadis juga akan lemah. Extension juga terjadi ketika orang mencurigai kritik hadis dengan mengatakan: Sekarang baru hadis yang dikritik, nanti Al-Quran pun akan dikritik juga. Jika  peserta pengajian tadi menganalogikan ustaz yang mengadakan kritik hadis itu dengan orientalis, maka ia telah melakukan argumentum ad absurdum (reducing the claim to absurdity). Analogi  didalam istilah Ushul Fiqh disebut Qiyas. Didalam qiyas orang mencari illat (sebab-sebab yang menimbulkan hukum) untuk dapat menyamakan hukum diantara dua perkara: yang diqiyaskan dengan tempat mengqiyaskannya. Kerana mencari illat hukum itu bukanlah perkara yang mudah, maka orang sering tersalah dalam melakukan qiyas. Mudah saja terjadi extension, atau argumentum ad absurdum. Itulah sebabnya Mazhab Zhohiri, sangat menentang qiyas dan menolaknya sebagai sumber hukum.

 

Kita ambil contoh fidyah puasa, misalnya. Orang yang tidak sanggup berpuasa (kerana sudah terlalu tua, dan seumpamanya) dibolehkan tidak berpuasa, sebagai gantinya mereka diwajibkan membayar fidyah, satu mud beras misalnya (kira-kira 0.625 kg), untuk satu hari puasa, kepada fakir miskin. Jadi tiga puluh hari puasa, fidyahnya adalah tiga puluh mud pula (atau 18.75 kg). Extension terjadi bila orang berkata: Jika puasa boleh diganti dengan fidyah, maka sholat pun tentu boleh juga diganti dengan fidyah. Fidyah puasa ada nashnya (dalilnya) didalam Al-Quran (Q.S.2:184), sedangkan fidyah sholat tidak ada nashnya. Puasa hanya diwajibkan satu bulan dalam satu tahun, atau paling banyak tiga puluh hari setahun. Puasa tidak berbelah, diwajibkan sekali sehari, mulai daripada terbit fajar, sampai terbenam matahari; sedangkan sholat diwajibkan lima kali sehari dalam waktu-waktu yang berlainan. Sholat boleh dilakukan dengan duduk jika tidak sanggup berdiri, atau berbaring apabila tidak sanggup juga duduk, - bahkan boleh dilakukan dengan isyarat saja bila keadaan sangat lemah. Oleh karena itu kita jumpai bimbingan tata-cara sholat bagi orang sakit, atau musafir yang sedang di dalam perjalanan, tetapi tidak untuk berpuasa. Jadi, di antara puasa dengan sholat sangat banyak  perbezaan. Lalu, ke mana fidyah sholat itu diqiyaskan? Apakah fidyah sholat itu untuk satu hari pula, seperti fidyah puasa tadi, atau untuk lima waktu dalam sehari? Kalau untuk satu hari berarti fidyah sholat itu satu mud pula sehari. Tetapi, jika untuk setiap waktu sholat, bererti lima mud pula sehari. Bila fidyah sholat itu untuk satu hari, jika setahun itu 365 hari, maka fidyahnya 365 mud pula (228.125 kg) setahun. Tetapi, jika untuk setiap waktu sholat, maka 365 X 5 waktu = 1825 mud (1140.625 kg) setahun. Kemudian apakah fidyah sholat shubuh yang dua rakaat sama banyaknya dengan fidyah sholat zuhur yang empat rakaat? Mengapa?  Satu perkara yang membuat kita kagum ialah ada diantara masyarakat kita membayar fidyah puasa dan sholat salah seorang anggota keluarganya yang sudah meninggal  untuk jangka masa yang sangat panjang; ada yang menghitung fidyahnya mulai dari umur 17 tahun sampai ia meninggal dunia. Bayangkan berapa jumlah fidyah yang harus dibayar oleh ahli keluarganya. Yang lebih aneh lagi adalah, fidyah puasa dibayarkan kepada fakir miskin, seperti tersebut didalam Al-Quran, tetapi dalam prakteknya, sama ada fidyah puasa mahupun fidyah sholat, dibayarkan oleh mereka kepada ustaz-ustaz. Maka tindakan mengqiyaskan (menganalogikan) fidyah puasa dengan sholat itu, dalam istilah Ushul Fiqh disebut al-qiyaasu maal faariqi baathilun (menganalogikan di antara dua perkara yang berbeza adalah tidak sah/bathil). Ini salah satu contoh strategems dalam Ushul Fiqh.

 

Mengapa manusia cenderung melakukan strategems? Menurut Al-Quran, manusia sering menolak kebenaran kerana mereka hanya mengikuti prasangka dan hawa nafsu (Q.S.53: 23), atau mereka mendustakan apa yang mereka belum ketahui dengan sempurna padahal belum datang kepada mereka penjelasannya (Q.S.10: 39). Jadi, prasangka dan hawa nafsu, ditambah ketidaktahuan, sering menimbulkan kesalahan dalam berfikir. Dalam bahasa ilmiah sekarang, hawa nafsu itu adalah egoisme, kepentingan peribadi atau golongan, atau subyektivisme. Maka dalam masalah fidyah sholat tadi, ramai orang akan mudah saja meninggalkan sholat, kerana ianya  bisa dibeli dengan harga beras.

 

Antara contoh yang lebih konkrit, iaitu logika politik di negara kita. Hampir setiap hari kita melihat, sama ada di media cetak mahupun media elektronik, penderitaan yang menimpa rakyat Afghanistan dibawah pemerintahan Thaliban. Apabila kelompok militan di negara ini mengharamkan kaum wanita mengikuti musabaqah tilawatil Quran, melarang wanita bekerja malam, melarang wanita bertanding dipilihan raya, melarang wanita cantik bekerja, dan seterusnya; maka kelompok militan dikhuatirkan akan menjadikan Malaysia seperti Afghanistan dibawah pemerintahan Thaliban. Ini adalah salah satu contoh dari strategems.  Apakah  kerana beberapa larangan yang dikeluarkan oleh kelompok militan (yang dimaksud PAS tampaknya) lalu kita mengadakan extension? Persamaan dalam sebahagian tidak bererti sama dalam keseluruhan. Oleh kerana itu tidaklah semestinya kita melakukan argumentum ad absurdum.

 

Mengapa hal ini boleh terjadi? Pertama, seperti yang dikatakan Al-Quran tadi, adalah kerana mengikuti prasangka dan hawa nafsu dalam erti luas. Kedua, adalah kerana tiadanya ilmu pengetahuan mengenai perkara tersebut dengan sempurna dan belum datang penjelasannya. Bagaimanakah cara menyelesaikan perkara ini? Pertama, marilah kita sama-sama melepaskan diri daripada prasangka dan hawa nafsu kita (egoisme, kepentingan pribadi dan politik kita, dan seumpamanya) demi menegakkan masyarakat yang harmoni di negara kita ini. Perbezaan pendapat wajar terjadi didalam berdemokrasi. Kedua, diharapkan kepada PAS supaya dapat menjelaskan konsep negara yang bagaimana yang akan ditegakkannya, tolonglah diberi penjelasan  (ilmu pengetahuan) tentang itu dengan sempurna; supaya dapat pula diketahui, apakah PAS akan sama dengan Thaliban atau tidak, agar orang tidak berprasangka buruk terhadap PAS dan terhindar daripada  penyakit extension. Semoga..!

 

Wallahu alam.